IMAM HUSAIN DI INGATKAN MENGENAI WARGA KUFAH
Di dalam perjalanan awal ke Kufah, kafilah Imam Husain as bertemu al Farazdaq, seorang penyair terkenal di tempat bernama al Sifah. Al Farazdaq menasihatkan Imam agar tidak pergi ke Kufah, kerana walaupun hati mereka bersama Imam, tetapi pedang mereka adalah mengarah kepada Imam. Bagaimanapun, Imam Husain as tetap meneruskan perjalanan, dan beliau telah menerima berita baik, dari utusan Muslim Ibn Aqil. Surat dari Muslim Ibn Aqil menunjukkan masyarakat telah lebih dari bersedia untuk menyambut kedatangan Imam di Kufah serta menerima kepimpinan beliau. Imam Hussain, kemudiannya menghantar seorang lagi utusan kepada Muslim. Kafilah Imam Husain tetap meneruskan perjalanan ke Kufah. Beberapa hari berlalu, Imam tidak lagi menerima respon dari Muslim ibn Aqil.
YAZID MELANTIK UBAIDILLAH
Di Kufah, dengan bantuan Mukhtar Al Thaqafi dan Hani Ibn Urwah, Muslim terus mengadakan mesyuarat secara rahsia dengan para pengikut Imam Husain. Dalam masa yang singkat, pertemuan ini menghasilkan satu momentum yang kuat di kalangan para pengikut Imam Husain. Yazid, melalui para pengintipnya, telah berjaya mengetahui kejayaan ini. Sebagai tindak balas, beliau telah melantik Ubaidillah ibnu Ziyad, seorang yang berpewatakan kejam, sebagai gabenor Kufah, untuk menggantikan Nu’man ibn Al Bashir, yang dirasakan tidak efisien dalam menanggani pergerakan ini.
MUSLIM BIN AQIL & HANI IBN URWAH DI PANCUNG
Sementara itu, apabila kafilah cucunda Nabi semakin menghampiri Kufah, di suatu tempat bernama Zubalah, Imam Husain telah menerima satu berita yang sangat mengejutkan. Muslim ibn Aqil, bersama Hani Ibn Urwah, telah ditahan dan dipancung kepala mereka, oleh gabenor baru, Ubaidillah ibn Ziyad. Mukhtar at Thaqafi juga turut ditahan dan dipenjarakan oleh beliau.
IMAM HUSAIN MENERUSKAN PERJALANAN
Imam Husain telah mengumpulkan para pengikutnya dan menceritakan berita buruk ini dengan berkata: “Para pengikut kita telah meninggalkan kita, bagi kalian yang memilih untuk meninggalkan kami, bolehlah melakukannya tanpa sebarang rasa bersalah.” Dengan perasaan takut, beberapa orang sahabat beliau meninggalkan kafilah al Husain. Imam Husain tetap meneruskan perjalanan bersama para pengikut setia dan ahli keluarganya sehinggalah mereka bertemu secara berhadapan dengan 1000 orang tentera berkuda pimpinan Hur al Riyahi, yang mewakili pihak musuh. Kumpulan tentera ini menghalang kafilah Imam Husain dari meneruskan perjalanan. Ketegangan mula meningkat di antara kedua kumpulan. Imam Husain menerangkan bahawa tujuan beliau menuju ke Kufah adalah atas pelawaan dan jemputan masyarakat Kufah. Beliau malah menunjukkan sebuah beg penuh dengan surat-surat dari mereka.
HUSAIN AS TIBA DI NEINAWA (KARBALA)
Al Hur mengatakan bahawa beliau dan orang-orang beliau bukanlah penulis surat-surat itu. Imam Husain lalu berkata, jika mereka tidak menyukai pemergian mereka ke Kufah, maka beliau akan pulang semula ke Hijaz. Hur lalu menjawab: “Kami telah diarahkan untuk mengikuti kamu, sehingga kami membawa kamu berjumpa Gabenor Ibnu Ziyad.” Al Hur lalu mencadangkan Imam menuju ke satu tempat yang bukan Kufah atau Hijaz. Imam Husain mendapati cadangan itu adalah cadangan yang adil, lalu bergerak menjauhi Kufah. Hur dan tenteranya turut bergerak selari dengan kafilah Imam Husain. Kedua pihak akhirnya sampai ke sebuah perkampungan bernama Neinawa, di mana utusan Ibnu Ziyad membawa pesanan kepada Al Hur. Pesanan itu berbunyi: “Paksa Husain untuk berhenti. Biarkan dia berhenti di kawasan lapang, tanpa sebarang tumbuhan atau air.” Hur menyampaikan mesej itu kepada Imam Husain. Imam, ahli keluarga dan para sahabatnya, membantah perintah itu dan meneruskan perjalanan sehingga satu lagi pasukan musuh memintas mereka dan memaksa mereka berhenti. Apabila Imam Husain mendapat tahu bahawa tempat itu bernama Karbala, beliau merasakan telah sampai ke destinasinya, dan mengarahkan khemah-khemah didirikan. Hari itu adalah 2hb Muharram, tahun 61 hijrah.
No comments:
Post a Comment